Aktifkan Javascript

Untuk mengakses blog blog saya, hidupkan Javascript di dalam pengaturan browser.
Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Pelakon Zulkifli Zain meninggal dunia

PELAKON veteran, Datuk Zulkifli Zain, 76, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit di kediamannya di Ukay Perdana, Ampang, pada jam 7.30 malam tadi.
Allahyarham meninggalkan balu, Datin Normala Omar yang juga pelakon dan penyanyi, lima anak serta tujuh cucu.

Berita pemergian bekas Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) itu disahkan anak sulungnya, Norzizi Zulkifli.



“Memang sejak seminggu ini keadaan kesihatan arwah semakin merosot. Makan pun tiada selera.

“Selalu kalau saya dukung dia, badan dia boleh bergerak, tapi kali ini sangat lemah. Kalau bercakap dengan dia pun, tidak ada tindak balas diterima.
“Hanya saya dan adik, Norzazleen sempat berada di sisinya pada saat akhir. Arwah pergi dalam keadaan mengejut tapi cukup tenang.

“Sejujurnya, sampai saat ini saya macam tak percaya yang dia sudah tiada,” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Zulkifli dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Norzizi yang juga pelakon, pengarah teater dan pensyarah berkata, Allahyarham bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang, esok.



“Jenazah akan disembahyangkan di Masjid Ukay Perdana dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, esok. Cuma masa sahaja belum dapat ditentukan lagi,” katanya.

Mac lalu, Zulkifli yang berasal dari Alor Setar, Kedah, dimasukkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh apabila disahkan mengalami pendarahan dalam otak.

Sebelum ini, arwah pernah dikejarkan ke hospital akibat jangkitan kuman dalam darah dan masalah buah pinggang.

Pada era kegemilangannya, Zulkifli membintangi drama Tragedi Seri Mersing pada 1985 dan cukup terkenal dengan watak Bentayan.

Filem lain lakonan arwah adalah Sayang Anakku Sayang pada 1981, Penentuan (1982), Kecil-Kecil Cili Api (1996), Anak Mami Kembali (2005) dan Cicakman (2006).

Posting Komentar untuk "Pelakon Zulkifli Zain meninggal dunia"