Seorang lagi individu hina Islam ditahan.
Kuala Terengganu: Polis menahan seorang penganggur selepas dipercayai menghina agama Islam serta beberapa individu menerusi rakaman audio yang tersebar sejak Isnin lalu.
Suspek yang juga seorang duda berusia 59 tahun itu ditahan di rumahnya di Chendering di sini, kira-kira jam 1 pagi tadi. Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal mendapati rakaman audio itu dilakukan pada tahun lalu namun baru ditularkan.
Beliau berkata, seorang individu yang menyedari kewujudan rakaman itu membuat laporan polis malam tadi yang membawa kepada penahanan suspek. "Rakaman ini adalah ulangan daripada yang telah berlaku pada tahun lalu dan ditularkan semula oleh individu tertentu.
"Menerusi rakaman audio itu, kita dapat mendengar suara seorang lelaki memaki hamun kepada individu tertentu termasuk agama Islam. "Tindakan suspek adalah penghinaan bukan saja kepada agama Islam tetapi boleh mendatangkan ketidakharmonian kepada masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rohaimi berkata, suspek yang turut mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Katanya, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine itu disiasat mengikut Seksyen 298 A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. "Kita memandang serius isu sebegini dan orang orang ramai diingatkan supaya tidak menjadikan agama sebagai jenaka kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dan menimbulkan situasi tidak harmoni dalam kalangan masyarakat," katanya.
Sumber - HMetro . Baca Selanjutnya : https://www.bharianplus.com/2022/07/seorang-lagi-individu-hina-islam-ditahan.html?m=1
Posting Komentar untuk "Seorang lagi individu hina Islam ditahan. "